Hazree nekad memilih dunia fesyen kerana jiwanya terarah ke bidang tersebut berbanding dunia perubatan.
SEBAIK sahaja keluar dewan sambil membawa busana dan trofi Anugerah Pereka Muda 2004 yang dimenanginya, Hazree Wahid dihampiri oleh seorang wanita warganegara Australia yang berminat membeli salah satu busana yang diperagakannya.
Hazree mengakui dia begitu teruja dan terkejut kerana tidak menyangka wanita itu bersungguh-sungguh mahu membelinya sehingga sanggup meletakkan harga mencecah RM4,000.
“Harga yang ditawarkan sungguh memeranjatkan. Tidak sangka ada pembeli yang berani membeli busana yang dihasilkan oleh pereka baru dan belum ada nama.
“Malangnya hasrat wanita tersebut tidak kesampaian kerana busana tersebut perlu dibawa ke Hong Kong untuk acara pertandingan seterusnya,” imbas pereka muda Hazree Wahid, 27, mengenai pengalaman manisnya lima tahun lalu.
Kemenangan
Kemenangan sulung itu sangat bermakna buat Hazree. Mengapa? Dia berjaya melembutkan hati ibu bapanya bagi membolehkannya menyertai dunia fesyen.
“Bukan senang memujuk hati ibu dan ayah yang mengharapkan anak mereka bergelar jurutera atau doktor. Pada mulanya saya memenuhi permintaan mereka dengan menuntut dalam bidang perubatan di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Saya mengambil keputusan berhenti belajar pada tahun keempat sedangkan aliran perubatan mengambil tempoh lima tahun,” tambah Hazree yang berkali-kali mencuba untuk gagal peperiksaan semester.
Tapi, niat dan usaha jahat tersebut tidak membuahkan hasil kerana anak sulung daripada tiga orang adik-beradik tetap memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75.
Berhenti belajar
Keputusannya mahu berhenti belajar mendapat tentangan hebat daripada kumpulan pensyarah dan keluarga, namun Hazree nekad. Semuanya kerana cintanya terhadap bidang fesyen.
“Tiada guna belajar perubatan sedangkan jiwa saya bukan di situ.
“Dalam fikiran saya ketika itu hanya membayangkan rekaan, mesin jahit dan fabrik,” ulas Hazree yang kerap mendapat markah 98 peratus dalam subjek Matematik sejak menuntut di tingkatan tiga hingga tingkatan lima.
Hazree memberitahu, minatnya terhadap bidang itu mula timbul sejak umurnya 11 tahun.
Tabiat ibunya yang gemar mendapatkan pandangan Hazree mengenai suai padan busana sebelum menghadiri sesuatu majlis antara faktor yang mencetuskan minat lelaki ini.
Sejak itu, selesai mengulangkaji pelajaran, Hazree yang bersifat pemalu itu pasti menonton program pertunjukan fesyen dan membelek majalah.
“Saya lebih fokus memerhatikan aspek perincian dan teknik jahitan berbanding rekaan. Bagi saya tanpa perincian seperti manik, mutiara atau labuci koleksi busana sedikit suram,” ujar bekas graduan International Fashion Training Centre (IFTC), Kuala Lumpur itu.
Kini Hazree mampu mengukir senyuman kerana berkat usaha gigihnya itu berjaya direalisasikan dengan pembukaan butiknya di Ampwalk, Ampang, Kuala Lumpur.
Enggan menyerupai pereka lain yang mencipta nama dengan menaja busana kepada selebriti, Hazree lebih selesa busananya terlebih dahulu digayakan oleh orang awam.
Khidmat Hazree dalam menghasilkan busana istimewa tetap mendapat sambutan dalam kalangan artis.
Penyanyi remaja Elyana menggayakan pakaian Hazree Wahid untuk kulit album beliau, Jadi Diriku.
Artikel Penuh:http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_05.htm