Sentuhan magis Amelia

KELIBAT wanita ini kerap dilihat di pentas fesyen berprestij. Sopan dan tertib dengan busana Muslimah. Sebut saja nama Datin Amelia Hassan, pasti ramai yang akan membayangkan rekaan busana eksklusif sarat dengan perincian berat, batu berkilau, manik, labuci dan potongan renda.

Paling tidak, keseluruhan rekaan pentasnya musim itu akan menampilkan pilihan fabrik daripada rona dan corak yang sama. Bezanya adalah rekaan, perincian, potongan serta teknik lipatan yang digunakan.

Tidak kira apapun rekaan yang ditampilkan wanita ini, pasti terselit ciri elegan, eksklusif dan moden. Semua ciri berkenaan terlalu sinonim dengan karya pemenang Anugerah Pereka Harapan BDA 2014 ini.

Rekaan Amelia selalunya glamor. Busananya bagaikan mempunyai kuasa magis yang sekelip mata mengubah penampilan si pemakai. Tidak kira sama ada busana moden atau Muslimah, rekaan ditampilkan biasanya anggun dan menawan.

Mengenali Amelia dengan lebih dekat, wanita ini memperkenalkan nama sebenarnya adalah Amelia Abu Hassan. Anak sulung daripada empat beradik ini berasal dari ibu kota Kuala lumpur.

“Saya berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmed Farriq dan kini sudah memiliki empat cahaya mata. Sebenarnya, sebelum belajar dalam bidang fesyen, saya memiliki diploma dalam bidang Teknologi Maklumat Perniagaan.

“Pada masa itu, saya juga mempunyai perniagaan hadiah dan cenderahati premium, selain memiliki gerai menjual pakaian serta aktif menjadi peragawati separuh masa.

“Begitupun, saya akhirnya nekad mengubah haluan hidup selepas kehilangan ibu tersayang pada 2010. Saya mula menyusun kembali impian dan minat. Sejak kecil, saya cukup teruja melihat perubahan gaya dalam dunia fesyen.

“Saya suka bergaya, tetapi tidak mampu untuk membeli pakaian bernilai ratusan ringgit, apatah lagi yang berharga ribuan ringgit. Jadi, sejak menjadi peragawati, saya menyimpan hasrat memiliki butik dan jenama pakaian sendiri satu hari nanti,” katanya.

Meminati hasil rekaan Datuk Bernard Chandran, Amelia menjadikan pereka tersohor itu sebagai idola. Dia mengkaji latar belakang pereka kesukaannya dan mula merencana hidup baru.

“Saya belajar di IFTC International Academy of Fashion & Design, tempat di mana Bernard Chandran belajar. Berkat kesungguhan, saya tergolong dalam 10 pelajar teratas dan menjadi pelajar terbaik di sana selama dua tahun.

“Lebih membanggakan, saya juga berpeluang menyertai banyak pertunjukan fesyen seperti Malaysian International Fashion Alliance (MIFA) 2010 dan 2011 serta Festival Antarabangsa Muzik, Seni dan Gaya 2011 (MASiF) 2010 dan 2011,” katanya.

Jelas Amelia, dia bersyukur kerana dunia fesyen yang diteroka dengan kesungguhan akhirnya membuka ruang luas untuk dirinya membina jenama sendiri.

“Perjalanan karier saya berkembang dengan pembukaan butik pertama di Wisma Central pada 2011. Tiga tahun di sana, saya berpindah ke Damansara Perdana dan mula menyertai Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) pada 2013.

“Siapa sangka tahun seterusnya, saya terpilih pula sebagai penerima Anugerah Pereka Harapan BDA 2014. Kebetulan pada tahun berkenaan saya bergiat aktif bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan ahli BDA yang lain ke Dubai, Doha, Filipina dan Paris untuk mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam industri fesyen.

Wakil negara

“Dari situ, saya terus aktif menyertai pertunjukan fesyen antaranya Festival Fesyen Islam (IFF), Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), Minggu Fesyen Malaysia dan Gaya Raya.

“Hanya pada 2016, barulah saya melebarkan sayap dalam sektor peruncitan menerusi himpunan koleksi pakaian sedia pakai (RTW) di Metrojaya dan Parkson,” katanya.

Puas mereka pelbagai busana moden yang menyerlahkan bentuk tubuh si pemakai, wanita ini sekali lagi membuat pembaharuan dalam hidup. Bermula dengan perubahan dirinya yang kini tampil berhijab, Amelia menyuntik semangat sama dalam koleksi busana terbarunya.

Jika diteliti, pembaharuan yang dibawa Amelia kali ini memang jauh berbeza dengan semua rekaan mewah yang pernah ditonjolkan di pentas sepanjang pembabitannya dalam dunia fesyen semasa.

Dalam senyum manis, kata Amelia, dia mahu meneroka sisi baru dalam fesyen. Jika sebelum ini rekaannya lebih terarah kepada yang menjolok mata dan mendedahkan tubuh, apa salahnya jika himpunan baru mencerminkan perubahan dirinya sendiri.

“Saya selalu percaya bahawa industri fesyen mempunyai banyak cabang untuk diteroka. Kalau dulu, saya belum terbuka hati memperkenalkan fesyen abaya.

“Alhamdulillah, idea ini tercetus ketika hendak mengerjakan ibadah umrah, baru-baru ini. Kalau diikutkan, sebenarnya ramai pelanggan saya yang selalu bertanya bila hendak mengeluarkan pakaian Muslimah termasuk yang sedia dipakai untuk solat.

“Banyak kali juga saya hasilkan rekaan sedemikian mengikut permintaan pelanggan. Tapi, hati belum terbuka untuk mengeluarkan koleksi khusus. Cuma, ketika hendak mengerjakan ibadah umrah bersama keluarga pada November lalu, saya sempat menyiapkan enam pasang khimar untuk kegunaan sendiri di sana.

“Mana tahu ramai pula yang bertanya dan ada juga yang berminat untuk menempah. Tetapi, yang membuatkan saya betul-betul kuat untuk menghasilkan pakaian Muslimah patuh syariah ini adalah niat yang terlintas ketika pulang dari Tanah Suci. Saya mahu mengajak lebih ramai wanita berpakaian menutup aurat dengan selesa,” katanya.

Busana muslimah

Mungkin sudah tersurat rezeki buat wanita ini, busana yang diperkenalkan akhirnya mendapat sambutan menggalakkan. Biarpun tidak menonjol sebagaimana rekaan lain sebelum ini, busana itu masih nampak bergaya, elegan dan sopan.

“Apapun, saya selalu bersyukur kerana jenama ini mampu bertahan selama sembilan tahun dalam industri fesyen Malaysia. Banyak yang saya terpaksa lalui dalam mematangkan diri serta terus kekal dalam industri.

“Bukan mudah hendak mencipta nama. Ia tidak mengambil masa sehari dua tetapi memerlukan kerja keras dan kesabaran yang sangat tinggi. Tambahan pula saya juga adalah ibu kepada empat orang anak. Mahu atau tidak, saya harus pandai membahagikan masa antara kerjaya dan pengurusan rumah tangga.

“Anak berumur 11 dan 10 tahun memerlukan perhatian. Sementara dua anak kecil masing-masing berusia tiga tahun dan 18 bulan masih menyusu badan,” katanya.

Tambah Amelia, dia percaya setiap individu yang ingin berjaya perlu mempunyai matlamat dan prinsip hidup. Tidak kira apa saja perniagaan atau kerjaya yang dilakukan, ia hendaklah diusahakan dengan sebaik-baiknya.

“Kalau pernah gagal, anggaplah kegagalan pertama itu pengalaman yang paling mahal dan berharga untuk kita lebih berjaya pada masa depan. Belajar menjadi orang yang sentiasa positif dalam segala hal, perbaiki diri setiap hari dan bersifat terbuka menerima ilmu secara langsung atau tidak. Semua ini pasti menjadikan kita wanita terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 11:23 AM