Sarah jaga tutur kata

Bukan jenis orang yang peramah dan sememangnya tidak banyak cakap, sepatah ditanya sepatah dijawab oleh Sarah Intan Abdul Rahim, 28.

Apapun, dia bukan orang baharu dalam dunia peragaan kerana sudah bergelar model sejak umur 17 tahun.

Walaupun lebih 11 tahun berpengalaman memperaga fesyen, dia masih menjaga perlakuan dan tutur kata yang dikeluarkan. Setiap yang diucapkan pasti disertai dengan senyuman.

Mungkin tidak mahu terkeluar kata-kata atau perkataan yang tidak perlu diucapkan dan tidak mahu nampak terlalu mesra tidak bertempat, membuatkan dia lebih senang berdiam diri.

Itulah Sarah. Bagi orang yang tidak mengenalinya mungkin akan mengatakan dia sombong.

Berdarah campuran Melayu, Bugis dan Arab, anak bongsu daripada empat beradik ini bertuah kerana memiliki wajah jelita yang memudahkan laluan untuk bergelar seorang model.

Kini menjadi model sepenuh masa, memperagakan fesyen Muslimah dan moden, bidang yang sentiasa menjadi pilihan utamanya.

Justeru, setelah tamat persekolahan, dia memilih untuk mengambil Diploma Rekaan Fesyen di International Fashion Training Centre (IFTC).

Hasratnya selepas itu ialah untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat ijazah di kota fesyen terkenal, Paris, Perancis, tetapi tidak mendapat ‘lampu hijau’ daripada bapanya, yang tidak mahu anak perempuannya itu berjauhan dari keluarga.

Lantas hasrat tersebut terpendam dan menimba pengalaman dengan melakukan pelbagai pekerjaan berkaitan.

Dengan kata lain, pada usia muda, Sarah telah belajar banyak erti kehidupan dengan bekerja sebagai jurugaya, jurusolek artis, pendandan rambut dan kini sebagai model.

“Saya suka dengan trend fesyen masa kini yang sangat berkembang. Malaysia sudah menjadi seperti Indonesia yang perkembangan fesyennya begitu pesat.

“Setiap hari kita dapat melihat banyak rekaan fesyen baharu dan bilangan pereka fesyen juga sudah semakin ramai. Ramai pelajar fesyen berbakat dilahirkan oleh institut pengajian tinggi tempatan sama ada awam mahupun swasta.

“Misalnya, ramai pereka muda yang dilahirkan dari UiTM (Universiti Teknologi Mara) berjaya serta dikenali bukan sahaja di Malaysia malah di negara jiran,” kata Sarah.

Mengenai fesyen peribadinya, Sarah menyukai pelbagai gaya fesyen seperti kasual glamor, namun masih berhati-hati dan mengelak daripada memakai fesyen yang terlalu seksi dan terdedah.

Bercakap mengenai trend wanita yang berbelanja mewah dengan menghabiskan wang membeli barangan mahal dan berjenama, pendapat Sarah cukup mudah, jika berkemampuan tidak menjadi masalah.

Jelasnya, jika dia mampu dia mungkin akan berbuat demikian. Bagaimanapun, seseorang wanita itu harus bijak mengawal nafsu berbelanja dan jangan mengikut hati.

Sarah mengakui, tidak kira sama ada wanita mahupun lelaki, gemar memakai barangan berjenama kerana mungkin melambangkan status seseorang.

Namun, tidak kurang juga yang memilikinya kerana percaya ‘alah membeli menang memakai’, kerana barangan berjenama lazimnya berkualiti dan tahan lama.

“Jika teringin sangat beli sahaja mengikut harga yang termampu. Bagaimanapun, tidak semestinya memakai barang yang mahal contohnya, beg tangan, akan membuatkan seseorang itu nampak bergaya.

“Kalau pandai menggayakan, beg tangan yang murah akan nampak bergaya. Saya beli beg tangan saya di H & M tetapi orang melihat sangat cantik dan mahal. Mereka bertanya di mana saya membelinya. Jadi, apa yang penting kita kena pandai menggayakannya.

“Begitu juga sebaliknya jika seseorang itu memakai beg tangan yang mahal tetapi tidak pandai menggayakannya, tetap akan nampak murah,” ujarnya. –Gambar WAHIDAH ZAINAL

Bermula sebagai model iklan

Ramai yang mungkin pernah melihat ‘kelibat’ wajah Sarah, namun kurang pasti di mana. Tidak perlu terus tertanya-tanya kerana anda mungkin melihatnya di salah-satu iklan yang ‘dibintanginya’

Sememangnya dia memulakan kerjaya sebagai model iklan. Sehingga kini banyak iklan yang menggunakan wajahnya seperti Colgate, Celcom, Febreeze, Softlan dan sebagainya. Dia juga pernah ke Jakarta untuk berlakon dalam iklan Citra Losyen.

Ketika awal pembabitannya, Sarah juga pernah dilamar oleh beberapa pengarah filem untuk berlakon, namun ditolak kerana masih belum bersedia.

Sarah mengaku, tidak susah menjadi model iklan kerana masa yang diperuntukkan tidak terlalu lama, kadang-kadang hanya beberapa hari dan paling lama seminggu.

Lebih seronok, pendapatan yang diperoleh agak lumayan bagi kerja yang dilakukan dalam masa yang singkat. Bayaran paling mahal yang pernah diperoleh ialah RM10,000 untuk satu iklan.

“Walaupun mendapat bayaran yang berbaloi dan lumayan, saya tidak boleh boros. Saya perlu juga menyimpan sebahagian pendapatan. Walaupun saya suka berbelanja membeli pakaian dan mekap, tapi sekarang ini saya hanya membeli jika perlu.

“Saya sedang mengumpul duit bagi memulakan perniagaan pakaian secara dalam talian. Saya akan memulakan perniagaan ini dalam masa terdekat,” ujarnya.

Gambar: 
FAIRUZ IZYANA AYUB
Pakaian: INTUISI BY YANS CREATION, LOT F1-33, AEON BIG , JALAN 8/27A, SEKSYEN 5, WANGSA MAJU, KUALA LUMPUR (019-33720131, EMEL: intuisireka@gmail.com)
Solekan: MIMI ROMYZA (018-3974703)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/sarah-jaga-tutur-kata-1.311662#ixzz51sKHvMeq
© Utusan Melayu (M) Bhd