Cinta selepas kemalangan

TIADA siapa menduga jodoh yang ditakdirkan Tuhan boleh datang dalam pelbagai situasi dan peristiwa. Ada yang bertaut kasih kerana satu kuliah semasa di universiti, bertemu kerana urusan kerja, disatu oleh rakan baik atau lebih manis lagi teman sepermainan sejak kecil.

Begitu jugalah pasangan yang mengisi ruangan Intuisi Cintaminggu ini, pereka fesyen terkenal, Datin Lyndawati Kamarudin, 33, atau dikenali sebagai Lynda Rahim dan Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin, 46.

Mungkin seperti babak dalam filem, kasih mereka bertaut melalui satu insiden kemalangan jalan raya.

Jalan Stonor menjadi saksi pertemuan mereka kira-kira dua tahun lalu yang akhirnya membawa tautan kasih ke jinjang pelamin.

Tarikh perkenalan yang dicatat pada 11 Julai 2007 itu masih lagi terpahat utuh di fikiran Lynda saat diajukan soalan mengenai detik pertemuan dia dan suaminya.

“Semuanya berlaku secara tidak diduga apabila saya terlanggar kereta dia. Kebetulan masa itu, saya kelam-kabut kerana ingin membeli-belah pada saat akhir sebelum bertolak ke Eropah untuk bercuti.

“Saya melalui Jalan Stonor dan terlanggar kereta dia. Bayangkan, sudahlah melanggar kereta mewah BMW miliknya. Yang menjadikan saya takut ketika itu adalah saya memandu tanpa lesen,” katanya tersenyum sambil melirik ke arah Rahim.

Namun, Lynda menarik nafas lega apabila Rahim tidak ‘naik angin’ walaupun kereta mewahnya kemek dan tercalar. Sebaliknya, pesona ketrampilan dan kecantikan Lynda berjaya menarik perhatian Rahim untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat.

Gadis yang berjaya menjentik hati Rahim sehingga berdegup kencang itu diajak keluar. Namun Lynda menolak dengan baik. Bukan seorang gadis materalistik, Lynda juga tidak mudah memberikan nombor telefonnya kepada pemilik kereta BMW itu.

Namun, misteri dan keluhuran hati Lynda membuatkan Rahim benar-benar ingin mengenali Lynda.

“Melalui nombor plat kereta Lynda, saya meminta pertolongan rakan untuk menjejaki beliau,” kata lelaki yang ketika itu menyandang jawatan sebagai presiden di sebuah bank tempatan dalam usahanya menjejaki gadis idamannya ini.

Menurut Rahim, beliau sanggup menghadapi cabaran demi cabaran dalam merealisasikan hasrat untuk mengenali Lynda dengan lebih dekat lagi.

“Saya terkejut dia (Rahim) muncul di depan rumah dan mengajak saya keluar. Ketika itu, saya baru sahaja pulang daripada bercuti selama dua minggu.

“Saya menerima pelawaannya kerana keikhlasan yang beliau tunjukkan kepada saya. Lagipun, saya masih rasa bersalah mengenangkan peristiwa melanggar kereta beliau sehingga kemek,” kata wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Dari situlah keakraban mereka membuahkan bibit persefahaman dan menerbitkan rasa cinta. Janji untuk mencipta gerbang bahagia ingin segera dilaksanakan. Biarpun perkenalan mereka hanya berlangsung selama tiga bulan tetapi demi membuktikan kesungguhannya, lelaki yang berasal dari Kota Singa itu nekad meminang Lynda.

Meskipun perkenalan mereka begitu singkat, ternyata keserasian dan persefahaman mengatasi segalanya.

“Saya selesa apabila bersama dia. Buat apa tunggu lama jika saya merasakan bahawa she the one for me,” kata Rahim bersungguh-sungguh.

Usikan nakal Rahim terhadap Lynda acap kali ibarat melengkapi kemanisan hubungan cinta kedua-dua pasangan ini.

“Kami bertunang pada hari pertama Aidilfitri pada tahun 2007 di rumah saya di Bandar Tasik Puteri, Selangor. Sebulan selepas itu, pada 8 November 2007 kami diijab kabul,” ungkap Lynda sambil mengenggam erat tangan Rahim.

Ternyata perkahwinan dengan seorang jejaka yang juga mempunyai perniagaan perkapalan itu membuatkannya begitu bahagia.

Hidup dibaluti kemewahan sudah semestinya menyebabkan Lynda hanya memikul tugas sebagai suri rumah sepenuh masa. Namun, Lynda yang sudah biasa hidup bekerja hanya bertahan selama enam bulan sahaja. Selepas itu, Lynda mula merasa bosan. Bukan bosan dengan perkahwinannya tetapi bosan kerana ingin bekerja.

“Banyak kali saya minta pada suami untuk bekerja tetapi dia tidak izinkan. Saya kemudiannya memberi idea kepadanya untuk membuka butik yang mengumpulkan jenama-jenama terkenal dunia.

“Dia tidak setuju kerana berasa was-was. Tambahan pula, saya tidak mempunyai pengalaman mahupun pengetahuan mengenai fesyen,” katanya.

Akhirnya Rahim bersetuju membenarkan permaisuri hatinya bekerja dengan satu syarat iaitu perniagaan yang diusahakan mesti memberi pulangan modal dalam masa setahun.

Cabaran, semangat dan kasih sayang Rahim, menjadi bekalan Lynda untuk berjaya. Selepas tiga bulan butiknya beroperasi, Lynda masih kurang puas dengan apa yang dicapainya. Ini kerana, beliau menjalankan perniagaan dengan menjual jenama orang lain.

Terus memandang positif ke hadapan, Lynda kemudiannya mendaftarkan diri di Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC). Di situ, bakat Lynda sebagai pereka fesyen mula dicungkil. Ketika itu Rahim juga sudah mempunyai kerjaya baru sebagai Pengarah Urusan San Francisco Coffee Malaysia.

Seiring dengan kejayaan rangkaian kafe suaminya, butik Lynda yang membawa label Lynda Rahim semakin meniti nama dalam industri fesyen. Butik ini turut menyediakan barangan hantaran dan juga pelamin. Antara yang pernah menggunakan khidmat rekaannya termasuklah pelakon drama bersiriKaisara, Sari Yanti dan juga model dan pelakon Haryati Hamzah atau dikenali sebagai Yatt.

Artikel Penuh:http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm