“Orang Tionghua harus menukar pandangan mereka terhadap ceongsam. Mereka seharusnya berbangga memakai pakaian tradisional ini bukan pada sambut Tahun Baharu Cina atau ketika menghadiri majlis-majlis berbentuk tradisi sahaja. Sebaliknya, harus lebih kerap digayakan bagi mengembalikan kegemilangannya dan jangan biarkan tenggelam ditelan arus kemodenan.”
Demikian luahan pemilik butik ceongsam Emerald Brilliant, Ryan Sim Wei Chian, 32, ketika ditemui di butiknya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Dia mahu setiap orang terutama wanita Tionghua berbangga apabila menyarungkan pakaian tradisional itu ke tubuh mereka.
Ini kerana usaha yang dimulakan oleh ibunya, Kong Yoon Yoon, 68, yang merupakan salah seorang anak murid pengasas institut fesyen terulung, IFTC, Annie Wong, bagi mengekalkan ceongsam dilihat berhasil.
Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini mula mengambil alih perniagaan ibunya pada 2008 setelah dilihat semakin mahir tentang selok- belok perniagaan butik.
Mempunyai empat beradik yang kesemuanya lelaki, bagi Ryan tidak ada salahnya lelaki mengusahakan butik walau untuk pakaian wanita.
Terbiasa melihat ibunya menjahit ceongsam sejak kecil, dia mula mengorak langkah dengan belajar memotong dan menjahit pakaian tradisional itu.
Ketika itu, usianya baru menginjak 23 tahun. Diam tak diam kini sudah sembilan tahun dia menguruskan butik ceongsam sepenuhnya.
Menyusuri sejarah busana tradisional itu, katanya, ceongsam bermakna baju panjang dan berasal daripada perkataan Kantonis. Dalam dialek Mandarin, ia dipanggil chipao.
“Dahulu ceongsam mestilah panjang hingga ke kaki, berkolar Mandarin, potongan bertindih di tepi satu bahagian dada dan mempunyai butang tradisional, iaitu butang benang simpul.
“Bagaimanapun pada 1970-an, potongan ceongsam ditukar menjadi pendek mengikut arus kemodenan. Walaupun demikian, saya masih membuat ceongsam mengikut kehendak pelanggan. Ada ceongsam panjang dan ada yang pendek.
“Ceongsam boleh dibuat menggunakan apa sahaja jenis kain dan tiada kain tertentu yang khas untuknya sahaja. Di Emerald Brilliant ini terdapat pelbagai rekaan ceongsam daripada pelbagai jenis kain termasuk songket dan batik.
“Ceongsam yang lebih tradisional akan disulam dengan motif naga (lambang kesuburan dan keturunan), burung cenderawasih, bunga blossom dan maotan, serta ditambah dengan perincian seperti kristal, manik, labuci, renda dan sebagainya supaya nampak lebih cantik dan eksklusif,” kata Ryan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kolej Sunway.
Tambah Ryan, yang membuat ceongsam untuk bayi baru lahir hingga warga emas yang berusia 100 tahun, sesiapa pun boleh menjahit ceongsam asalkan berminat dan sanggup belajar kerana pembuatannya sama seperti pakaian-pakaian lain.
Selain ceongsam untuk perempuan, dia turut menghasilkan ceongsam lelaki yang diberi nama Chinese man coat atau man cheongsam.
Sebelum mengambil tempahan, apa yang mesti diketahui ialah personaliti seseorang itu sama ada gemuk atau kurus, tinggi atau rendah, cerah atau gelap kerana ini penting bagi mencari jenis dan warna kain yang sesuai.
Harga tempahan bagi sehelai ceongsam pendek bermula dari serendah RM450, manakala tempahan untuk ceongsam panjang bermula dari RM799 ke atas. Bagi ceongsam pendek yang telah siap dijual pada harga di antara RM399 hingga RM799 dan ceongsam panjang pula di antara RM799 hingga RM5,000. Namun, dia pernah menjual ceongsam yang berharga lebih RM10,000 sehelai.
Antara ciri-ciri yang perlu ada pada ceongsam, haruslah ketat mengikut ukuran badan, berbelah di kiri dan kanan paha, butang di bahagian bahu, potongan bertindih atau kam dan mempunyai trimming.
Butik ini juga telah banyak menaja ceongsam bagi beberapa pertandingan ratu cantik seperti Pertandingan Ratu Cantik Miss Malaysia Kebaya dari tahun 2000 sehingga sekarang, Miss My Life Global 2016/2017, Miss Cheongsam Sin Chew 2017/2018 dan banyak lagi. – Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN
Kekalkan ciri tradisional
“Ceongsam hari ini sudah mengalami banyak perubahan. Memang benar perubahan itu perlu tetapi kekalkan ciri tradisional pakaian ini, seperti kolar Mandarin.
“Jika tiada kolar Mandarin ini, ceongsam nampak seperti gaun malam biasa sahaja.
“Saya masih mengekalkan ciri-ciri tradisional ini. Kelainan ceongsam Emerald Brilliant ialah buatan tangan, potongannya masih mengikut cara tradisional dan menggunakan jenis kain yang keras. Kain keras menjadikan ceongsam nampak lebih cantik.
“Sebenarnya susah hendak membuat ceongsam kerana banyak kerja, cerewet dan memerlukan ketelitian. Tidak boleh sambil lewa kerana tidak akan menjadi,” kata Ryan.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, ceongsam tidak semestinya dipakai semasa Tahun Baharu Cina sahaja, tetapi boleh dipakai pada hari-hari biasa juga seperti ke pejabat, sekolah, majlis atau jamuan makan malam.
Nama butik ceongsam Emerald Brilliant kini cukup dikenali dan memiliki beberapa cawangan, iaitu di One Utama, Empire Subang, Mid Valley, Ipoh dan Yong Peng, Johor.
Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/ceongsam-tidak-hilang-seri-1.437109