Bukan ‘ubah suai’ biasa
MENJADI pereka fesyen memang nampak glamor, namun tidak bagi seorang tukang jahit. Pendapatan seseorang pereka fesyen juga lumayan tetapi tukang jahit hanya berada di bahagian belakang butik dan tiada yang mengenali mereka.
Bagaimanapun, tanggungjawab seorang tukang jahit sangat besar dan tanpa mereka, baju pelanggan tidak akan siap.
Bukan sekadar menerima tempahan pakaian daripada pelanggan tetapi tukang jahit juga boleh memberikan khidmat ubah suai baju sehingga pelanggan berpuas hati.
Lazimnya, servis ubah suai yang sering dilakukan ialah memotong labuh jubah atau kain, mengecil atau membesarkan baju atau mengecilkan lengan.
Pun demikian, Saleha Mat, 47, pemilik Saleha Mat Alteration Boutique, memberikan khidmat yang lebih lagi.
Anda mungkin tidak percaya bahawa Saleha bukan sahaja menyediakan perkhidmatan ubah suai biasa tetapi juga boleh mengubah baju lama yang kecil mengikut saiz badan pelanggan pada masa sekarang.
Dengan kata lain, baju kecil boleh diubah menjadi besar.
Bukan setakat itu, ibu kepada seorang anak ini juga boleh mengubah fesyen baju tersebut.
Memang kedengaran pelik, namun itulah hakikatnya malah keistimewaan yang dimiliki ini mampu memberikan pendapatan yang lumayan kepada Saleha.
Wanita ini yang membuka kedainya di Pusat Beli-belah Setapak Central, Kuala Lumpur, sejak tiga tahun lalu berkata, dia menyediakan servis mengubah suai baju wanita seperti kebaya, blaus, dres, pantsuit dan seluar panjang, manakala untuk lelaki pula baju Melayu, kemeja, jeans dan banyak lagi.
Pertama kali pelanggan datang ke kedai, katanya, mereka hanya mengetahui mengenai servis ubah suai biasa, tetapi setelah melihat banyak pakaian tergantung di kedai, mereka mula bertanya servis lain yang saya sediakan.
“Saya bukan setakat ubah suai sahaja tetapi saya menyediakan ubah suai profesional atau meningkatkan mutu ubah suai. Ini bermakna daripada fesyen yang sedia ada sepasang baju itu, saya ubah terus fesyennya menjadi lain.
“Contohnya daripada jubah saya buat skirt, skirt menjadi jubah, baju kurung saya jadikan jubah, blaus saya jadikan baju kurung moden dan sebagainya.
“Mungkin orang kurang percaya, namun setelah mereka datang semula untuk mengambil baju, nampak mereka terkejut dengan ubah suai yang dilakukan.
“Terdapat pelanggan yang sangat sayangkan baju kahwinnya dahulu tetapi tak boleh lagi pakai kerana bentuk badan sudah berubah. Dia bertanya jika saya boleh mengubah saiz baju tersebut supaya boleh memakainya semula.
“Setelah siap, dia sangat gembira dan berpuas hati. Bagi baju kecil yang perlu dibesarkan, saya akan tambah dengan kain lain yang sesuai dengan baju tersebut.
“Ada pelanggan yang mahu bakal menantu perempuannya memakai baju kahwinnya. Bagaimanapun baju tersebut terlalu kecil dan tidak muat dengan saiz badan. Dia menghantar baju tersebut kepada saya dan saya besarkan supaya boleh dipakai semula oleh bakal menantunya.
“Oleh itu, jangan buang atau beri pada orang baju lama jika anda masih sayangkannya. Lebih-lebih lagi jika baju tersebut mempunyai kenangan sentimental atau berjenama mahal,” kata Saleha yang memiliki Diploma Rekaan Fesyen daripada International Fashion Training Centre (IFTC) ini.
Menurutnya, dia menerima lebih banyak pakaian untuk diubah suai menjelang hari raya. Ini kerana ramai yang membeli baju secara dalam talian dan tidak dapat mencuba memakai baju tersebut.
“Ada beberapa pusat beli-belah yang mempelawa saya membuka perniagaan ubah suai ini di premis mereka, bagi menarik pelanggan untuk datang ke sana,” katanya yang ingin membuka pusat sehenti menjual alat jahitan, ubah suai, tempahan dan cucian kering.
Saleha yang pernah mengubah suai baju beberapa artis terkenal menambah, kedai ubah suai biasa memang banyak tetapi susah hendak mencari kedai ubah suai yang menyediakan servis seperti yang dilakukan dikedainya.
Dengan pendapatan yang diperoleh hasil ubah suai baju, dia mampu membayar sewa kedai sebanyak RM6,000 sebulan, sewa bengkel dan gaji pekerja.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/fesyen/bukan-8216-ubah-suai-8217-biasa-1.406300#ixzz51sG32GZQ