Berniaga sejak usia 18 tahun

KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Pepatah ini sememangnya bersesuaian untuk Datin Amelia Hassan, 29, yang tidak dapat dipisahkan dengan cinta dan ghairahnya terhadap dunia perniagaan.

Darah usahawan diwarisi daripada ibunya, yang berasal dari Padang, Indonesia, mengalir pekat di dalam tubuhnya. Biarpun punya latar belakang pendidikan dalam bidang profesional, akhirnya dunia perniagaan juga dipilih untuk kelangsungan hidupnya.

Cerita anak sulung daripada empat beradik ini, selepas tamat sekolah menengah, dia seakan tidak tahu arah hidup yang hendak dituju.

Apa yang sentiasa tertanam di dalam jiwanya sejak sekian lama ialah hendak berniaga kerana terlalu minat dengan bidang tersebut.

Begitupun, untuk memulakan perniagaan pada waktu itu dirasakan terlalu mentah, justeru dia mengambil langkah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dahulu.

Amelia melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi sehingga memiliki tiga diploma, iaitu, Diploma Sains Komputer, Diploma Perniagaan Teknologi Informasi dan Diploma Rekaan Fesyen di Kolej Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC).

Dalam pada itu, keterujaan terhadap dunia perniagaan tidak pernah padam, malah semasa berumur 18 tahun, dia sudah pun mula berniaga pakaian dan jamu di Ampang Park, Kuala Lumpur.

Dia berusaha membahagikan masa di antara berniaga dan menghadiri kelas. Jika ada kelas, ibunya akan menggantikan tempatnya menjaga kedai.

Bagi Amelia, tiada masalah melakukan dua perkara pada masa yang sama, iaitu berniaga dan menyambung pelajaran. Sekurang-kurangnya, dia mahu berusaha sendiri mencari duit, berdikari dan tidak mahu menyusahkan keluarga.

Tidak cukup dengan itu, dalam kesibukan memenuhi dua kerja, dia masih sempat menerima tawaran menjadi model dan berlakon.

Katanya, seronok menjadi model kerana diberi berpeluang menyarung pakaian daripada pereka-pereka terkenal, sehingga timbul niat dalam hati untuk memiliki koleksi baju dan butik sendiri suatu hari nanti.

Amelia boleh dianggap bertuah kerana perjalanan dalam meningkatkan kehidupan diri dan keluarga dipermudahkan. Pada usia 20 tahun dia telah mempunyai syarikat sendiri diberi nama Premium Souvenir and Collection Enterprise, yang membuat hadiah korporat, hamper dan membekalkan kuih raya.

Semua pendapatan yang diperoleh disimpan dan tidak dibelanjakan pada perkara yang tidak perlu. Dua tahun mengusahakan perniagaan tersebut, dia membuat keputusan untuk mengambil diploma dalam bidang rekaan fesyen di IFTC.

Semua perbelanjaan pengajian daripada duit simpanan sendiri kerana katanya, keluarganya pun bukanlah orang senang.

Tidak lama, setahun selepas itu dia membuka butik sendiri yang dinamakan dengan namanya sendiri, iaitu Amelia Hassan terletak di Wisma Central, Jalan Ampang.

Walaupun masih belajar, dia berani membuka butik kerana niatnya ialah untuk belajar sambil mengusahakan butik.

“Apabila ada butik sendiri, saya boleh membuat rekaan fesyen di butik apabila tidak ada kuliah. Saya mula mengambil tempahan daripada kawan-kawan rapat dan saudara-mara. Tanpa disangka, perniagaan butik saya ini berkembang sehingga boleh menggaji pekerja dan tukang jahit.

“Walaupun sibuk dengan pengajian dan perniagaan, saya bersyukur kerana dipilih sebagai pelajar terbaik IFTC dua tahun berturut-turut iaitu 2010 dan 2011,” katanya yang lebih dikenali sebagai pereka baju-baju untuk majlis-majlis glamor.

Pun demikian, Amelia turut menghasilkan rekaan pakaian seperti dres, baju kurung, baju muslimah dan sedia dipakai bagi memenuhi kehendak pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan kenamaan dan kerabat.

Dia terus melangkah ke hadapan kerana tahun ini, pakaiannya berjaya menembusi pasaran di rangkaian gedung membeli-belah terkenal, Metrojaya bagi koleksi sedia dipakai. – Gambar
 WAHIDAH ZAINAL

Lima tahun bertunang

Baharu mendirikan rumah tangga Mac lalu dengan Datuk Ahmed Farriq Zainol Abidin, 35, Amelia kini sedang hamil empat bulan dan dijangka melahirkan anak sulung pada Mei ini.

Pernah sekali keguguran, dia menganggap rezekinya belum ada ketika itu. Bagaimanapun, tidak pernah berasa sunyi kerana kehadiran dua orang anak tiri, Ferra Aryanna, 7, dan Feeya Adyrra, 6.

Dipanggil Ummi oleh anak-anak tirinya, dia menganggap mereka seperti anak kandung sendiri dan kasih sayang yang dicurahkan tidak berbelah-bahagi.

“Sebenarnya saya sudah lama rapat dengan mereka sebelum kami berkahwin lagi. Sebelum berkahwin, kami bertunang selama lima tahun. Masa itu saya baru berumur 23 tahun.

“Memang ramai tidak percaya saya boleh bertunang selama itu. Kalau orang lain mungkin tidak sanggup. Saya sebenarnya tidak mahu cepat-cepat berkahwin kerana mahu fokus betul-betul pada bisnes. Dia pula sanggup menunggu sehingga saya betul-betul bersedia.

“Tahu sahajalah apabila sudah berniaga, sentiasa sibuk di butik melayan pelanggan dan kadang-kadang ke luar negara. Walaupun bertunang lama, kami tidak pernah bergaduh. Suami seorang yang sangat penyabar.

“Saya rasa untuk mengekalkan hubungan yang baik di antara suami isteri perlu menghormati antara satu sama lain, menghargai hak peribadi masing-masing, tidak melayan suami seperti budak-budak, tidak marah-marah dan cemburu melulu.

“Saya bertuah kerana mendapat suami yang jujur. Saya tidak pernah memeriksa telefon suami, tidak pernah bergaduh fasal perempuan lain dan tidak ganggu masanya dengan kawan-kawan,” katanya yang berkahwin dengan ahli perniagaan minyak dan gas, perkapalan, kontraktor dan Bendahari Yayasan Perdana Ummah.

Walaupun mampu tinggal di rumah sendiri, Amelia tidak membantah apabila suami mengajaknya tinggal bersama-sama dengan ibu bapa mentua.

Walaupun pada mulanya berasa bimbang untuk tinggal serumah dengan mentua tetapi dia sanggup mencuba kerana selagi tidak dicuba, dia tidak akan tahu masalah yang mungkin timbul.

Ujarnya, dia tidak mahu berfikir negatif dan baginya jika hendak bahagia, kita yang harus mencipta sendiri kebahagiaan itu. Kini setelah setahun tinggal sebumbung, hubungannya dengan mentua amat baik dan tiada masalah yang timbul.

“Suami selalu mengucapkan terima kasih kepada saya kerana memahaminya dan tidak menimbulkan masalah. Masalah kecil kami letakkan ke tepi dan tidak berpanjang-panjang.

“Saya tidak mahu ada stres dalam hubungan kerana salah satu punca kanser ialah stres dan saya telah melihat penyakit itu pada emak saya,” ujarnya.

Tidak susahkan keluarga

Berasal dari keluarga susah, membuatkan Amelia kuat bekerja dan mencari duit sejak remaja. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga, kerana selagi termampu, dia akan berusaha sendiri.

Pada usia remaja, dia sudah boleh menanggung adik beradiknya serta pengajian mereka. Adik-adiknya amat terhutang budi kepadanya kerana dia banyak membantu sehingga mereka berjaya dalam pelajaran. Malah dia telah membawa bapa dan adik-adiknya menunaikan umrah dengan duit hasil niaganya.

Walaupun sudah bersuami, Amelia masih kerap berhubung dan bertanyakan khabar bapa serta adik-adiknya.

Menganggap dirinya, pengganti ibu yang telah meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu setelah menderita penyakit kanser payudara.

“Masa emak dikesan penyakit tersebut, saya baharu berumur 19 tahun. Saya melihat bagaimana sukarnya emak. Itu yang membuatkan saya berusaha untuk mengurangkan bebanan keluarga dan membantu adik-adik.

“Dengan hasil berniaga, saya membelikan rumah teres dua tingkat untuk keluarga. Rumah itu ada kawasan untuk emak berkebun dan dapat menghiburkan hati.

“Walaupun emak sudah tiada, saya bersyukur kerana dapat memberikan kegembiraan kepadanya. Saya selalu beritahu suami, isteri boleh dicari tetapi ibu bapa tiada ganti. Dengan pekerja pun saya pesan, jika dapat gaji, beri sedikit kepada ibu bapa. Mereka akan mendoakan anak-anak dan doa mereka makbul,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/berniaga-sejak-usia-18-tahun-1.176979#ixzz51sGnliYd
© Utusan Melayu (M) Bhd